PETALING JAYA 4 April - Semangat juara Mr Universe sembilan kali, Sazali Samad masih belum luntur untuk mencari gelaran juara dunia buat kali ke-10 walaupun sudah berusia 47 tahun.Sazali yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA Myanmar 2013 menegaskan dia akan terus berkecimpung dalam sukan itu selagi diperlukan dan langsung tidak memikirkan untuk bersara biarpun sering kali diajukan soalan itu.Menurut Sazali, tahun ini dia akan memfokuskan latihan bagi menghadapi kejohanan dunia yang akan berlangsung hujung tahun ini di Mumbai, India, selain kejohanan Asia. Bagaimanapun Sazali berkata, dia kini masih mendapatkan rawatan dan terapi di Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kecederaan lutut dialaminya selepas temasya di Myanmar. "Masalah ini berlaku sejak Sukan SEA tetapi saya boleh buat latihan dengan arahan doktor," katanya selepas dinobatkan Atlet Terbaik 2013 pada Majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 Plus-KBS, di sini, semalam. Kejayaan mengenepikan beberapa atlet tersohor lain seperti Datuk Nicol David (skuasy), Datuk Lee Chong Wei (badminton), Ho Mun Hwa dan Diana Bong Siong Lin (wushu) serta pasangan penerjun negara Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong membolehkan Sazali menerima wang tunai RM10,000 serta trofi yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. "Saya tidak sangka dengan kemenangan ini kerana calon yang lain lebih layak. Selama 26 tahun terbabit dalam bina badan dan banyak pengorbanan yang dilakukan, kemenangan ini sesuatu yang cukup bermakna buat diri saya," kata sub inspektor polis itu.
|
Friday, 4 April 2014
Sazali Tidak Terfikir Untuk Bersara Dari Bidang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment